MMPS Maju Demi Islam

Bersama kita martabatkan sistem pendidikan Islam.Selamat datang diucapkan kepada pelawat yang sudi mengunjungi blog ini.Sebarang cadangan dan kritikan yang membina amat dialu-alukan.

Wednesday, 13 July 2011

SUMBANGAN UNTUK TABUNG TAHFIZ AL-QURAN PIBG MMPS


Kepada:                                                                                                                                  Bil. ( 7 ) dlm.PIBG 05/11
                                                                                                                                                                Tarikh:    6 JULAI 2011
Semua Ibubapa/Waris/Guru-Guru MMPS
                                                                                                               
Assalamualaikum w.b.t

Tuan/Puan

MEMOHON SUMBANGAN UNTUK TABUNG HALAQAH TAHFIZ AL-QURAN PIBG MMPS

Adalah dimaklumkan bahawa sempena Mesyuarat Agung PIBG pada 28 April 2011 yang telah lalu, mesyuarat telah membuat keputusan untuk mewujudkan satu halaqah tahfiz al-Quran di Maktab Mahmud Pokok Sena yang akan dikelolakan oleh pihak PIBG dan di bawah pemantauan pentadbiran MMPS. Untuk peringkat permulaan halaqah tahfiz al-Quran ini akan disertai oleh pelajar peringkat menengah rendah yang terpilih dan mencukupi syarat-syarat tertentu sahaja.Jumlah bilangan pelajar yang akan menyertainya ialah seramai 40 orang iaitu 20 orang lelaki dan 20 pelajar perempuan.Halaqah tahfiz ini akan bermula pada pertengahan bulan Julai 2011.

2.    Sehubungan dengan itu pihak kami ingin memohon sumbangan berbentuk derma/zakat/wakaf dsbnya untuk menjayakan program ini. Perbelanjaan yang diperlukan ialah:
a)     40 unit rehal DHO: RM25 x 40= RM1000.00 (perbelanjaan 1x sahaja)
b)     40 unit al-Quran: RM30 x 40=RM1200.00 (perbelanjaan 1x sahaja)
c)     Elaun 2 orang guru halaqah dan seorang guru pemantau: RM1600.00 ( perbelanjaan setiap bulan)
4.    Oleh demikian itu, pihak Tuan/Puan diminta menyalurkan terus sumbangan kepada Setiausaha PIBG MMPS Us. Abd. Halim Md. Nor, Tel. No: 019 9369972 atau melalui guru kelas anak Tuan/Puan masing-masing.Segala kerjasama dan bantuan yang diberikan didahului dengan ucapan terima kasih dan jazaakumullahu khairan kathira.
  
Sekian, terima kasih.

Saya yang menjalankan tugas,



___________________
(ABD. HALIM MD. NOR)
Setiausaha PIBG MMPS

*Sila layari blog PIBG MMPS untuk segala maklumat PIBG dan untuk sebarang cadangan dan aduan di alamat: pibgmmps.blogspot.com

------------------------------------------------------------ potong di sini----------------------------------------------------------------------------------------

Setiausaha PIBG MMPS

Tuan,

SUMBANGAN UNTUK TABUNG HALAQAH TAHFIZ AL-QURAN PIBG MMPS
Adalah saya ………………………………………………………………………. waris kepada…………….....................................
pelajar tingkatan………………………………ingin menyumbang kepada tabung Halaqah Tahfiz  Al-Quran PIBG Maktab Mahmud Pokok Sena. Bersama-sama dengan ini disertakan wang sumbangan sebanyak RM…………………..
Sekian, terima kasih.

Yang benar



………………………………….
(                                               )

Wednesday, 6 July 2011

Peranan PIBG


PERSATUAN Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah organ penting kepada sesebuah institusi pendidikan rendah dan menengah. Fungsi dan tanggungjawab PIBG amat besar serta mencabar, ke arah meningkatkan akses, ekuiti, kecekapan, keberkesanan dan kualiti pendidikan negara yang lebih komprehensif, berwibawa serta bertaraf dunia.
Objektif dan visi PIBG hendaklah selari dengan Misi Nasional; Dasar Pembangunan Negara; Falsafah Pendidikan Negara (FDN); Dasar Pendidikan Negara (DPN); Pelan Integriti Nasional (PIN); dan prinsip Islam Hadhari.
Akta Pendidikan 1961 memperuntukkan bahawa PIBG adalah entiti utama dalam sesebuah sekolah dan asas penubuhannya termaktub dalam akta tersebut. PIBG berperanan sebagai rakan kongsi sekolah dalam menyelesaikan masalah, birokrasi dan isu yang timbul. Badan ini juga bertindak sebagai wadah, forum dan khidmat bakti untuk kemajuan serta pembangunan pelajar dan sekolah.
Ini turut meliputi sistem pentadbiran dan pengurusan sekolah, akademik, disiplin, sistem pemantauan dan penilaian. Penekanan kepada kurikulum dan pentaksiran amat penting, termasuklah pemantauan maklumat dan komunikasi, penyelidikan dan pembangunan, kewangan serta infrastruktur sekolah.
Perlembagaan PIBG menetapkan bahawa keahlian badan ini hendaklah terdiri daripada setiap guru dan ibu bapa yang anak mereka menuntut di sekolah berkenaan. Institusi ini boleh bertindak melengkapkan prasarana keperluan fizikal sekolah dan murid seperti projek makmal komputer; penyediaaan akses jalur lebar SchoolNet ke sekolah; perpustakaan yang lengkap; program TV Pendidikan; pusat sumber yang mapan; kemudahan sukan dan rekreasi yang mantap dan berkesan; serta pelbagai inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lain.
Ini termasuklah kemudahan akses internet, paparan kristal cecair (LCD), kafe siber di sekolah dan lain-lain lagi yang mampu menyokong aspirasi kecemerlangan sekolah.
Inilah agenda dan misi yang sepatutnya menjadi matlamat serta perjuangan barisan kepimpinan dan pengurusan PIBG. Dan bukannya menjadikan PIBG sebagai platform politik murahan, gelanggang mengejar nama dan pangkat, medan mesyuarat ala kedai kopi atau perebutan jawatan demi kepentingan diri sendiri dan mempunyai agenda tersembunyi yang tidak memberi sebarang manfaat dan kebaikan kepada pembangunan sekolah dan masa hadapan pelajar.
Barisan kepimpinan PIBG juga hendaklah menginsafi dan dengan penuh tanggungjawab melaksanakan tugas dan amanah yang dipikul di bahu mereka.
PIBG yang bertindak sebagai entiti utama, membolehkan kelompok ibu bapa dan guru berkongsi dan bertukar pendapat serta maklumat mengenai pendidikan semasa dan method meningkatkan lagi prestasi akademik dan kokurikulum pelajar. Pembangunan modal insan perlu dengan tumpuan kepada sistem nilai, aspek disiplin, sahsiah, akhlak, dan jati diri pelajar.
Ini bermatlamat melahirkan produk generasi pelajar yang berkualiti, bersepadu dan seimbang. Hasilnya produk pelajar tersebut kompeten dalam sains dan teknologi, inovatif, mampu bersaing di pasaran global, berdikari, kreatif serta kebolehpasaran dalam apa jua bidang dan jurusan yang diceburi mereka pada masa akan datang.

Perlembagaan PIBG

AKTA PENDIDIKAN 1996
PERATURAN-PERATURAN PENDIDIKAN
(PERSATUAN IBU BAPA & GURU) 1998
[Sub peraturan 7(2)]
PERLEMBAGAAN PERSATUAN IBU BAPA-GURU (PIBG)
SEKOLAH : .................................................................................

Nama dan Alamat
1. Persatuan ini dikenal dengan nama:
.......................................................................................................................
2. Alamat yang didaftarkan bagi Persatuan ini ialah:
.......................................................................................................................
.......................................................................................................................
Tujuan-tujuan Persatuan
3. Tujuan-tujuan Persatuan ialah:
a) untuk mengadakan sesuatu forum dan perkhidmatan bagi kebajikan dan kemajuan murid-murid dalam Sekolah dalam meningkatkan imej Sekolah;
b) untuk membantu dan menambah usaha Sekolah dalam memenuhi kehendak dan keperluan kebendaan murid-murid dalam kegiatan mereka;
c) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah bertukar-tukar fikiran dan maklumat mengenai pendidikan;
d) untuk memberi peluang kepada ibu bapa dan guru dalam sekolah berunding antara satu sama lain dengan cara memperbaiki taraf pendidikan anak-anak mereka pada amnya; dan
e) untuk membolehkan ibu bapa dan guru dalam Sekolah untuk berusaha menambah kewangan Sekolah dan meningkatkan kemudahan fizikal bagi tujuan meningkatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran
Fungsi Persatuan
4. Fungsi Persatuan ialah untuk menjalankan aktiviti atau program bagi mencapai tujuan-tujuan persatuan yang dinyatakan di perenggan 3, seperti:
a) membantu dalam memajukan perkembangan murid dan menjaga kebajikan murid;
b) menambah sumber kewangan Sekolah bagi menambah dan meningkatkan kemudahan di Sekolah;
c) meningkatkan kemesraan dan menyediakan saluran komunikasi dan hubungan antara Sekolah dengan masyarakat setempat;
d) meningkatkan kecerian premis Sekolah supya dapat mewujudkan suasana yang kondusif bagi menjayakan aktiviti dan program pendidikan
Keanggotaan Persatuan
5. Anggota Persatuan terdiri daripada:
a) semua guru di Sekolah;
b) ibu bapa kepada murid yang belajar dalam Sekolah; dan
c) warganegara Malaysia yang diluluskan permohonan untuk menjadi anggota Persatuan oleh Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian atau Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan (seperti di Lampiran A); dan
6. Guru Besar atau Pengetua Sekolah hendaklah menjadi ex-officio dan Penasihat Persatuan.
Jawatankuasa Persatuan
7. Persatuan hendaklah diuruskan oleh suatu jawatankuasa yang dikenali sebagai "Jawatankuasa PIBG". Jawatankuasa PIBG hendaklah dilantik oleh anggota Persatuan pada setiap Mesyuarat Agung Tahunan.
8. Anggota Jawatankuasa PIBG hendaklah terdiri daripada warganegara Malaysia sahaja.
9. Keanggotaan Jawatankuasa PIBG adalah seperti berikut:
a) seorang Yang Di-Pertua;
b) seorang Naib Yang Di-Pertua;
c) seorang Setiausaha;
d) seorang Bendahari; dan
e) ........................... orang Ahli Jawatankuasa
10. Bilangan ibu bapa dan guru yang menganggotai Jawatankuasa PIBG hendaklah, seboleh-bolehnya, seimbang.
11. Guru Besar atau Pengetua tidak boleh menganggotai Jawatankuasa PIBG dan hanya bertindak sebagai Penasihat Persatuan.
12. Bilangan Ahli Jawatankuasa PIBG di perenggan 9(e) hendaklah antara 1 hingga 11 orang.
13. Bilangan anggota Jawatankuasa PIBG di kalangan anggota Persatuan (bukan anggota guru di sekolah tersebut) yang tidak mempunyai anak di sekolah itu hendaklah tidak melebihi 1/5 daripada keseluruhan bilangan anggota Jawatankuasa PIBG berkenaan.
14. Tertakluk kepada perenggan 13 Perlembagaan ini dan subperaturan 6(4) hingga (6) Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa - Guru) 1998, Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian (mengikut mana yang berkenaan) boleh melantik tidak lebih daripada 2 orang yang bukan anggota Persatuan untuk menjadi anggota Jawatankuasa PIBG setelah mendapat kelulusan bertulis Pendaftar.
15. Tempoh memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG adalah bermula dari tarikh pelantikan sehingga tarikh Mesyuarat Agung Tahunan pada tahun berikutnya atau sehingga suatu tempoh yang diluluskan oleh pendaftar.
16. Jika berlaku kekosongan jawatan dalam Jawatankuasa PIBG, Yang Di Pertua hendaklah melantik mana-mana anggota biasa Persatuan, berdasarkan undian terbanyak di kalangan anggota Jawatankuasa PIBG, untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
17. Jawatankuasa PIBG hendaklah mengedarkan kepada anggota Persatuan senarai nama dan alamat pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG pada setiap tahun selewat-lewatnya 14 hari selepas tarikh Mesyuarat Agung Tahunan.
Fungsi Jawatankuasa PIBG
18. Fungsi Jawatankuasa PIBG ialah mengelola dan mengatur kegiatan Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara yang menyentuh perjalanan Persatuan, tanpa bercanggah dengan dasar umum yang ditetapkan oleh Mesyuarat Agung Tahunan, Perlembagaan ini dan Akta Pendidikan 1996 serta peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
a) Yang Di-Pertua
i) Menjadi Pengerusi dalam semua mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan mesyuarat.
ii) Mempunyai undi pemutus dan hendaklah menandatangani minit-minit mesyuarat apabila telah diluluskan.
iii) Bertanggungjawab mengawasi pentadbiran Persatuan serta memastikan bahawa peruntukan Perlembagaan dipatuhi oleh semua anggota Persatuan.
iv) Sentiasa mematuhi segala peruntukan Perlembagaan dalam menjalankan tugas sebagai Yang Di-Pertua.
v) Boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG pada bila-bila masa yang difikirkan perlu dengan persetujuan Guru Besar atau Pengetua.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.
vii) Memastikan segala aktiviti dan program Persatuan dilaksanakan dengan sempurna dan teratur.
viii) Mendapatkan nasihat mengenai pengurusan Persatuan dari semasa ke semasa daripada Guru Besar atau Pengetua selaku Penasihat Persatuan.
b) Naib Yang Di-Pertua
i) Bertanggungjawab membantu Yang Di-Pertua dalam menjalankan fungsi-fungsi Yang Di-Pertua.
ii) Menjalankan tanggungjawab dan fungsi Yang Di-Pertua semasa ketiadaan Yang Di-Pertua .
c) Setiausaha
i) Menjalankan urusan Persatuan mengikut Perlembagaan Persatuan.
ii) Melaksanakan keputusan-keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Mencatat, menyedia dan menyimpan minit-minit mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Mesyuarat Agung Tahunan.
iv) Menyediakan laporan-laporan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Agung Tahunan serta minit-minit yang bersangkutan dengannya.
v) Menghantar segala laporan dan aktiviti Persatuan dan minit Mesyuarat Agung Tahunan kepada Pendaftar atau Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, selepas Mesyuarat Agung Tahunan.
vi) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan, jika perlu.
d) Bendahari
i) Bertanggungjawab mengurus dan mengawal hal ehwal kewangan Persatuan dengan menyediakan dan menyimpan kira- kira kewangan yang kemas kini. Penyata kira-kira kewangan (1 Januari hingga 31 Disember) hendaklah disiapkan sebelum 1 Februari tahun berikutnya untuk diaudit. Penyata kira-kira yang telah diaudit hendaklah dikemukakan untuk kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan. Satu salinan penyata yang telah diaudit dan diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar selepas Mesyuarat berkenaan.
ii) Menguruskan perbelanjaan wang Persatuan seperti yang diputuskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan atau mesyuarat Jawatankuasa PIBG.
iii) Menyimpan wang tunai tidak melebihi sesuatu jumlah yang ditetapkan dalam Perlembagaan pada sesuatu masa.
iv) Menerima bagi pihak Persatuan semua derma atau sumbangan daripada mana-mana anggota atau lain-lain sumber dan mengeluarkan resit akaun terima dan kreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari yang sama.
v) Menandatangani cek atau penyata pengeluaran wang Persatuan.
vi) Memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dari akaun Persatuan dan akaun sentiasa berbaki kredit.
Lain-lain jawatan
19. Penasihat Persatuan
a) Guru Besar atau Pengetua Sekolah adalah anggota ex-officio Persatuan dan bertindak sebagai penasihat kepada Jawatankuasa PIBG dan Persatuan. Antara tanggungjawab dan fungsi Guru Besar atau Pengetua adalah seperti berikut;
i) menghadiri mesyuarat Jawatankuasa PIBG, Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Tergempar, tetapi tidak boleh mengundi;
ii) mewakili pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi mengawal dan menasihati Persatuan supaya segala aktiviti, kegiatan dan keputusan yang dibuat dalam mesyuarat-mesyuarat Persatuan tidak bercanggah dengan kepentingan perkhidmatan, dasar-dasar negara dan dasar-dasar mengenai pelajaran dan pendidikan serta hal-hal berkaitan dengan pentadbiran sekolah;
iii) berhak untuk menghenti dan menangguhkan mesyuarat Persatuan jika difikirkan wajar untuk kepentingan anggota Persatuan;
iv) meluluskan semua agenda mesyuarat dan perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PIBG dan Persatuan;
v) memberi penjelasan kepada sesuatu isu mengenai pengurusan dan perjalanan Sekolah dan akademik serta isu-isu yang berkaitan dengannya dalam mesyuarat persatuan;
vi) memastikan kegiatan persatuan selaras dengan tujuan dan fungsi Persatuan;
vii) memastikan sumbangan Persatuan yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan tidak membebankan dan tidak mengandungi sebarang unsur paksaan; dan
viii) menentukan tetamu kehormat dan para jemputan yang menghadiri majlis anjuran Persatuan dilayan mengikut peraturan dan protokol yang ditetapkan oleh Kementerian.
b) Juru Audit Dalaman
i) Persatuan hendaklah melantik 2 orang juru audit dalaman dari kalangan anggota Persatuan yang tidak menjadi anggota Jawatankuasa PIBG pada mesyuarat Agung Tahunan.
ii) Tanggungjawab juru audit dalaman adalah seperti berikut:
aa) mengaudit akaun Persatuan pada setiap akhir tahun kewangan; dan
ab) menjalankan pengauditan secara berkala seperti mana yang diputuskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Tempat bermesyuarat (jika berlainan dari alamat berdaftar)
20. Mesyuarat Persatuan dan Mesyuarat Agung Tahunan diadakan di
..............................................................................................................
Kuorum
21. Kuorum mesyuarat yang diadakan oleh Persatuan adalah seperti berikut:
a) Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah tidak kurang daripada 3 kali jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG; dan
b) Mesyuarat Jawatankuasa PIBG - hendaklah tidak kurang 2/3 daripada jumlah bilangan anggota Jawatankuasa PIBG.
Mesyuarat Agung Tahunan
22. Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah pada setiap tahun sebelum akhir bulan Mac.
23. Jika Mesyuarat Agung Tahunan tidak diadakan sebelum akhir bulan Mac, Jawatankuasa PIBG hendaklah mengemukakan alasan dan tarikh yang dicadangkan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, sebelum 31 Mac.
24. Notis tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan hendaklah diberikan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 14 hari sebelum tarikh Mesyuarat.
25. Sekiranya kuorum untuk mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan tidak mencukupi dalam tempoh 1 jam dari masa yang ditetapkan, Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan Jawatankuasa PIBG hendaklah mengeluarkan notis bertulis kepada anggota Persatuan memaklumkan tarikh baru Mesyuarat Agung Tahunan dalam masa 30 hari dari tarikh asal tersebut.
26. Agenda Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah mengandungi perkara-perkara berikut;
a) ucapan Pengerusi;
b) membentang dan menerima Minit Mesyuarat Agung Tahunan yang lalu;
c) membentang dan menerima Laporan Tahunan;
d) membentang, menerima dan meluluskan Penyata Kewangan berakhir 31 Disember tahun sebelumnya;
e) membahaskan usul, jika ada;
f) pemilihan Jawatankuasa PIBG bagi tahun berkenaan;
g) pemilihan Juru Audit Dalaman;
h) ucapan penangguhan; dan
i) lain-lain hal.
27. Apa-apa usul bertulis hendaklah disampaikan kepada Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk menapis usul-usul yang dikemukakan sebelum diluluskan untuk perbincangan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
28. Mesyuarat Agung Tahunan bertanggungjawab memilih pemegang-pemegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG serta menimbang lain-lain perkara yang menyentuh kemajuan dan kebajikan Persatuan. Pemilihan pemegang jawatan hendaklah dibuat seperti berikut:
a) anggota yang dicalonkan untuk memegang jawatan dalam Jawatankuasa PIBG hendaklah hadir dalam Mesyuarat;
b) setiap pencalonan hendaklah mempunyai pencadang dan penyokong; dan
c) pemilihan hendaklah dijalankan secara undian bagi jawatan yang ditandingi. Calon yang mendapat undi terbanyak dipilih menjawat jawatan yang dipertandingkan.
Mesyuarat Agung Tergempar
29. Mesyuarat Agung Tergempar boleh diadakan dalam keadaan-keadaan berikut:
a) apabila difikirkan perlu oleh Jawatankuasa PIBG;
b) atas permintaan bertulis sekurang-kurangnya 1/5 daripada jumlah anggota Persatuan; atau
c) atas arahan Pendaftar.
30. Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah diadakan dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan Jawatankuasa PIBG atau tarikh penerimaan permintaan anggota Persatuan atau tarikh arahan Pendaftar, mengikut mana yang berkenaan. Notis bertulis mengenai Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dikemukakan kepada anggota Persatuan selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh Mesyuarat hendak diadakan.
31. Urusan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihadkan kepada tujuan Mesyuarat itu diadakan.
Laporan Mesyuarat
32. Laporan Mesyuarat Agung Tahunan bersama-sama Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
33. Laporan Mesyuarat Agung Tergempar hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pejabat Pendidikan Bahagian, mengikut mana yang berkenaan, dalam tempoh 30 hari selepas tarikh Mesyuarat.
Mesyuarat Jawatankuasa PIBG
34. Jawatankuasa PIBG hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya 3 kali dalam tempoh satu tahun persekolahan.
35. Notis panggilan mesyuarat hendaklah diberikan kepada anggota Jawatankuasa PIBG selewat-lewatnya 7 hari sebelum tarikh Mesyuarat.
36. Yang Di-Pertua, atau sekurang-kurangnya 3 orang anggota Jawatankuasa PIBG, boleh memanggil mesyuarat Jawatankuasa PIBG apabila difikirkan perlu dengan persetujuan Penasihat.
37. Setiap anggota Jawatankuasa PIBG yang tidak hadir mesyuarat sebanyak 2 kali tanpa sebab hendaklah digugurkan keanggotaan dalam jawatankuasa PIBG secara automatik dan Yang Di-Pertua hendaklah mengemukakan notis bertulis kepada anggota berkenaan sebaik sahaja keputusan itu dibuat.
Punca-Punca Pendapatan Persatuan
38. Punca-punca pendapatan Persatuan adalah terdiri daripada;
a) sumbangan anggota Persatuan (anggota Persatuan tidak boleh dipaksa memberi apa-apa sumbangan);
b) derma dan sumbangan daripada individu, organisasi dan badan-badan lain;
c) pendapatan yang diperolehi daripada aktiviti dan program unjuran Persatuan yang telah mendapat kelulusan Pendaftar
39. Jawatankuasa hendaklah membuka satu akaun di mana-mana bank tempatan yang berdaftar atas nama Persatuan.
40. Apa-apa wang yang diterima atau diperolehi oleh Persatuan hendaklah dikreditkan ke dalam akaun Persatuan pada hari wang diterima atau diperolehi. Walau apa pun peruntukan ini, Bendahari boleh menyimpan wang tunai yang tidak melebihi ................................................................................................ pada satu-satu masa.
Perbelanjaan wang Persatuan
41. Jawatankuasa PIBG diberi kuasa untuk membelanjakan wang Persatuan bagi perkara-perkara yang mendatangkan faedah kepada murid-murid Sekolah yang tidak bercanggah dengan tujuan-tujuan Persatuan.
42. Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang daripada akaun Persatuan hendaklah ditandatangan oleh Bendahari dan Yang Di-Pertua atau Setiausaha, semasa ketiadaan Yang Di-Pertua.
43. Bendahari dan Yang Di-Pertua hendaklah memastikan tiada berlaku terlebih pengeluaran wang dan akaun Persatuan sentiasa berbaki kredit.
44. Tahun kewangan Persatuan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember tahun semasa.
Penyimpanan akaun pendapatan dan perbelanjaan
45. Penyata Kira-kira Kewangan Persatuan yang telah diaudit hendaklah dibentangkan untuk diterima dan diluluskan oleh anggota Persatuan dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
46. Satu salinan Penyata Kira-kira Kewangan yang telah diaudit serta diterima dan diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dihantar kepada Pendaftar dan Pegawai Pendidikan Daerah atau Pegawai Pendidikan Bahagian mengikut mana-mana yang berkenaan.
47. Pendaftar, Pegawai Pendidikan Daerah, Pegawai Pendidikan Bahagian, Pengetua atau Guru Besar adalah dibenarkan memeriksa akaun Persatuan pada bila-bila masa.
Harta Amanah Persatuan
48. Persatuan tidak boleh memegang apa-apa harta, sama ada harta alih atau harta tak alih, atas namanya sendiri. Apa-apa harta yang, sebelum dari tarikh Perlembagaan ini berkuat kuasa, diletakkan atas nama Persatuan hendaklah dialihkan kepada Kerajaan Malaysia, yang diwakili oleh Sekolah, sebagai harta yang diamanahkan oleh Persatuan untuk digunakan bagi faedah murid-murid Sekolah itu sahaja atau sebagaimana yang ditetapkan oleh Jawatankuasa PIBG dari masa ke semasa.
49. Apa-apa harta yang diamanahkan kepada Sekolah tidak boleh dipindah milik atau dilupuskan dengan apa cara sekali pun, melainkan dengan persetujuan anggota Persatuan yang diperolehi dalam Mesyuarat Agung Tahunan.
Pindaan Perlembagaan Persatuan
50. Apa-apa cadangan untuk meminda Perlembagaan Persatuan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan terlebih dahulu.
51. Cadangan pindaan yang hendak dikemukakan kepada Pendaftar hendaklah dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan dipersetujui oleh sekurang-kurangnya 2/3 daripada anggota Persatuan yang hadir.
52. Pindaan kepada Perlembagaan hanya berkuat kuasa mulai daripada pindaan diluluskan oleh Pendaftar.
53. Pendaftar berhak meluluskan atau tidak sebarang pindaan yang dicadangkan oleh Persatuan.
Larangan
54. Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasanya untuk merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran dan pengurusan sekolah, guru, kakitangan dan pekerja Sekolah dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan Sekolah.
55. Persatuan bukanlah suatu entiti undang-undang dan tidak mempunyai keupayaan juridikal untuk membuat kontrak, perjanjian atau memorandum persefahaman, atas namanya sendiri. Apa-apa program dan aktiviti yang hendak dibuat oleh Persatuan yang memerlukan apa-apa suratcara yang mengikat dari segi undang-undang hendaklah dirujuk kepada Pendaftar, melalui Guru Besar atau Pengetua, untuk kelulusan dan panduan.
56. Persatuan tidak boleh menjadi forum atau jentera bagi menyelesaikan sebarang pertikaian antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua, Pejabat Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Bahagian, Jabatan Pendidikan Negeri, Kementerian Pendidikan, Kerajaan Negeri atau Kerajaan Persekutuan.
57. Persatuan tidak boleh bergabung dengan persatuan ibu bapa-guru di sekolah- sekolah lain, parti politik, kesatuan sekerja, pertubuhan bukan kerajaan atau lain-lain organisasi, pertubuhan atau persatuan, sama ada yang ditubuhkan atau berdaftar di bawah mana-mana undang-undang bertulis atau tidak.
Tafsiran
58. Sebarang kekeliruan atau pertikaian yang timbul daripada Perlembagaan ini hendaklah dirujuk kepada Pendaftar melalui Guru Besar atau Pengetua.
Pembubaran
59. Persatuan hanya boleh dibubarkan dalam keadaan berikut:
a) atas arahan bertulis daripada Pendaftar; atau
b) Sekolah berhenti beroperasi
60. Apa-apa wang dalam akaun Persatuan hendaklah digunakan sebagaimana yang ditetapkan oleh Pendaftar dan kegunaannya hendaklah bagi memanfaatkan pendidikan kanak-kanak di kawasan di mana Sekolah itu berada. Apa-apa harta alih dan tak alih yang telah diamanahkan kepada Sekolah hendaklah dilupuskan mengikut cara yang ditetapkan oleh Pendaftar.
61. Guru Besar atau Pengetua hendaklah memulangkan Sijil Pendaftaran Persatuan kepada Pendaftar apabila Persatuan dibubarkan.

Perlembagaan Sekolah: .............................................................................
Alamat Sekolah: .............................................................................

Tandatangan Guru Besar / Pengetua: .............................................................................
Nama Guru Besar / Pengetua: .............................................................................
Tarikh: .............................................................................

___________________________________________________________________
Diluluskan oleh:
Pendaftar Sekolah dan Guru
Cop:
Tandatangan:
Nama:
Tarikh: ...................................

Kertas Kerja Halaqah Tahfiz PIBG MMPS

HALAQAH TAHFIZ AL-QURAN PIBG MMPS
1.       Latar Belakang
Sempena Mesyuarat Agung PIBG pada 28 April 2011 yang telah lalu, selepas melalui sesi perbahasan yang mendalam maka mesyuarat telah bersetuju melaksanakan  satu usul bertulis untuk mewujudkan kelas halaqah tahfiz al-Quran di Maktab Mahmud Pokok Sena yang akan dikelolakan oleh pihak PIBG dan di bawah pengawasan dan pemantauan pentadbiran MMPS. Halaqah tahfiz al-Quran ini tidak diwajibkan kepada semua pelajar tetapi khas untuk pelajar yang terpilih dan mencukupi syarat-syarat tertentu dan bersedia untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan.

2.       Objektif
2.1.    Melahirkan generasi pelajar sekolah menengah agama yang menghafal al-Quran dan beramal dengannya.
2.2.    Menjadi satu contoh dan model bahawa sistem pembelajaran di Maktab Mahmud boleh menghasilkan para hafiz al-Quran jika dirancang dan dilaksanakan dibawah satu sistem dan penyeliaan  yang baik dan betul.
2.3.    Menjadi satu tapak untuk menyemai benih kecintaan terhadap amalan menghafaz al-Quran.
2.4.    Menjadi salah satu aktiviti kelolaan PIBG MMPS.

3.       AJK Pelaksana Halaqah Tahfiz Al-Quran
Penasihat: En. Abd. Kadir Hashim
Pengerusi: Us. Zainol Ahmad
Setiausaha: Us. Abd. Halim Md. Nor
Bendahari: Pn. Shahrani Salleh
Ahli Jawatankuasa:  Us. Aminuddin Ahmad
                                        Us. Abdullah Taib
                                        Us. Yusri Yahya
                                        Us. Abd. Rahim Abd. Kodir
                                        Us. Salim Mahmud
                                        Ust. Rosmina Md. Isa
                                        Pn. Yuhanis Yusuf

4.       Garis Panduan Umum Pelaksanaan
4.1.    Dibuat secara separuh masa dan waktu yang luar dari jadual persekolahan harian iaitu pada waktu malam selepas maghrib dan waktu pagi hari Jumaat dan Sabtu (yang tidak ada persekolahan).
4.2.    Kelas akan bermula pada bulan Julai 2011. Guru tahfiz dari luar yang dibantu oleh beberapa guru sekolah yang akan dilantik akan datang ke sekolah untuk aktiviti halaqah al-Quran seperti tashih bacaan, hafazan, tasmik dan murajaah. Guru-guru tersebut akan diberi elaun khas  berdasarkan jumlah jam kehadiran mereka.
4.3.    Halaqah al-Quran akan dilaksanakan di surau sekolah atau di kelas yang akan ditetapkan nanti.
4.4.    Segala aktiviti harian seperti kehadiran dan pencapaian hafazan akan direkodkan dan akan dipantau oleh AJK Halaqah Tahfiz Al-Quran MMPS.

5.       Bilangan Pelajar
Untuk permulaan dan sebagai projek perintis, seramai 20 orang pelajar lelaki dan 20 orang pelajar perempuan dari tingkatan  satu dan dua yang tinggal di asrama  sekolah atau yang tinggal berdekatan dengan sekolah akan dipilih untuk mengikuti program ini.

6.       Syarat Kemasukan
6.1.    Mempunyai minat yang tinggi dan kesungguhan untuk menghafal al-Quran.
6.2.    Boleh baca al-Quran dengan baik dan lancar.
6.3.    Pelajar tingkatan satu dan dua yang tinggal di asrama atau di rumah yang berdekatan dengan sekolah.
6.4.    Lulus temuduga.
6.5.    Kesanggupan dan komitmen dari ibubapa, terutamanya untuk menjelaskan yuran bulanan.

7.       Yuran Pengajian
7.1.    Yuran pendaftaran=RM30.00
7.2.    Yuran bulanan=RM50.00
7.3.    Tiada yuran dikenakan pada masa cuti akhir tahun persekolahan dan bayaran separuh akan dikenakan jika terdapat cuti selama 2 minggu.


8.       Jadual Halaqah
8.1.    Jadual Mingguan
Hari

Masa


Jumlah Jam Per Minggu
Isnin, Selasa, Rabu

8.00 – 9.00 malam
1 Jam X 3 Hari = 3 Jam
Jumaat & Sabtu (2 x sebulan)

8.00 – 10.00 pagi

2 Jam x 2 Hari = 4 Jam

Jum. Keseluruhan
                  7 Jam

8.2.    Jadual Bulanan
Bulan
Tarikh Mula  & Akhir Sesi Persekolahan
Jum. Jam Per Bulan
JULAI
1/7 – 31/7/2011
(4 Minggu X 3 Jam) +(2 Minggu x 4 Jam) = 20 Jam
OGOS
1/8 – 25/8/2011 (Ramadhan)
(4 Minggu x 5 Jam) +(2 Minggu x 4 Jam) = 28 Jam
SEPTEMBER
4/9 – 30/9/2011
(4 Minggu X 3 Jam) +(2 Minggu x 4 Jam) = 20 Jam
OKTOBER
1/10 – 31/10/2011
(2 minggu x 3 Jam) +(1 Minggu x 4 Jam) = 10 Jam
*Untuk bulan Ramadhan, pelajar akan berada dalam halaqah al-Quran selama 1 jam setiap pagi, 5 x seminggu.
*Cuti pertengahan penggal dan cuti Hari Raya Puasa ialah pada 26/8/2011 – 3/9/2011.
*Peperiksaan akhir tahun bermula pada pertengahan bulan Oktober.
*Cuti akhir tahun ialah pada 18/12/2011 – 31/12/2011.

9.       Sukatan Pengajian
Secara umumnya pelajar dimestikan sekurang-kurangnya dapat menghafal sebanyak 2 juz setahun. Pada peringkat permulaan surah-surah berikut wajib dihafal:
1)      Yaa Siin
2)      Ad-Dukhan
3)      As-Sajdah
4)      Al-Mulk
5)      Al-Waaqi’ah
6)      Al-Insan
7)      Juz ‘Amma
8)      Al-Kahfi

10.   Kewangan
9.1 Pendapatan:-
1)      Yuran pendaftaran: RM30.00 x 40 orang  =  RM1200.00
2)      Yuran Bulanan:          RM50.00 x 40 orang  =  RM2000.00
3)      Sumbangan/derma/zakat/dll.                    =  RM 1000.00
                                                              JUMLAH  =  RM4200.00
                                                             
9.2 Perbelanjaan:-
1)      Elaun guru halaqah: RM30.00 x 20 jam x 2 orang       = RM1200.00
2)      Elaun guru pemantau: RM20.00 x 20 jam x 1orang   =   RM400.00
3)      Rehal:                                            RM30.00 x 40 unit         = RM1200.00
4)      Al-Quran:                                    RM30.00 x 40 unit         = RM1200.00
5)      Belanja  Pengurusan/Alat Tulis dll:                                  =   RM200.00
                                                                                JUMLAH    =RM4200.00


11.   Penutup
            Pihak kami mengharapkan pembentangan kertas kerja ini dapat memberikan gambaran yang jelas tentang  program halaqah tahfiz al-Quran kelolaan PIBG MMPS dan pihak kami juga mengalu-alukan sebarang cadangan dan sumbangan berbentuk buah fikiran dan wang Ringgit demi menjayakan program ini dengan  lebih cemerlang lagi.  


Disediakan oleh:
Abd. Halim Md. Nor
Setiausaha PIBG MMPS sesi 2011/2012
2 JUN 2011.